Sabtu, 10 April 2021

BBM3410-2021-MINGGU 3-CELIK BAHASA ISYARAT






Sumber: Youtube DBPMalaysia

Rancangan Sembang Tamu yang memaparkan perkongsian daripada Prof Dr. Normaliza Abd. Rahim berjudul “Celik Bahasa Isyarat” telah memberikan inspirasi kepada setiap lapisan masyarakat. Prof Normaliza hanya mengambil masa dua bulan sahaja untuk mempelajari bahasa isyarat melalui medium media sosial di Youtube dan Twitter. Seperti yang diketahui umum, Prof Normaliza merupakan pakar wacana namun atas minat yang mendalam, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk mempelajari bahasa isyarat seiring dengan usaha berterusan. Beliau mula belajar dengan mengenal huruf dan perkataan, setelah itu merangka frasa-frasa pendek sehingga terbentuknya sebuah ayat yang lengkap.

Tambah beliau, terdapat pelbagai kepentingan bahasa isyarat yang boleh kita peroleh. Bahasa isyarat ialah bahasa perantaraan dan ianya sangat istimewa kerana merupakan medium komunikasi bagi golongan orang kelainan upaya iaitu bisu dan pekak. Golongan ini tidak berkemampuan untuk bercakap dan menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi sesama mereka. Jadi, sebagai manusia yang normal, Prof Normaliza beranggapan tidak salah sekiranya kita mempelajari bahasa isyarat ini. Malah, akan mewujudkan lagi suasana harmoni dalam kalangan masyarakat kini yang tidak akan menyisihkan golongan tidak bernasib baik itu.

Prof Normaliza telah melakukan eksperimen sosial bagi menguji tahap keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap golongan bisu dan pekak ini. Prof telah berkomunikasi dalam bahasa isyarat dengan anak-anak beliau di tempat awam dan ingin menarik perhatian segelintir masyarakat yang ada juga dalam kalangan mereka berasa tertarik. Maka, eksperimen yang dijalankan oleh Prof Normaliza dianggap berjaya kerana timbul rasa ingin tahu dalam segelintir masyarakat tersebut. Ada kemungkinan mereka juga akan mula belajar bahasa isyarat setelah melihat perbualan antara Prof dengan anak-anak beliau.

Sebagai rangkumannya, apa yang ingin disampaikan oleh Prof Normaliza sangat memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk mempelajari bahasa isyarat. Cadangan Prof untuk meletakkan bahasa isyarat sebagai kursus elektif wajib dalam kalangan pelajar universiti perlu diberikan perhatian oleh pihak yang berkaitan. Hal ini kerana, dengan perlaksanaan sebegini mampu memberikan pendedahan menyeluruh kepada generasi muda untuk lebih mengenali dan mendalami bahasa isyarat ini. Sebagai langkah yang lebih proaktif, para majikan juga perlu membuka peluang yang lebih besar kepada golongan kelainan upaya ini untuk lebih mengembangkan sayap mereka dalam apa jua bidang yang diceburi.

Sewajarnya sebagai rakyat Malaysia, kita perlu meraikan perbezaan dengan persamaan yang ada. Nyata, dengan mempelajari bahasa isyarat ini memberikan kelebihan kepada kita untuk lebih mengenali golongan kelainan upaya terutamanya meraka yang bisu dan pekak. Bukan sahaja mudah untuk berkomunikasi dengan mereka, malah mereka akan berasa tidak disisih dan mewujudkan suasana harmoni antara masyarakat. Perkara ini juga akan memberikan kita kelebihan jika melancong ke luar negara atau berurusan dengan orang asing pada masa hadapan kelak. Maka, kita akan lebih mudah untuk berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat tanpa mewujudkan persengketaan.

Ringkasannya, Prof Dr. Normaliza telah memulakan sebuah inisiatif yang memberikan banyak manfaat kepada warga masyarakat Malaysia. Kita perlu membuka mata dan lebih cakna terhadap bahasa isyarat ini seperti bahasa-bahasa asing yang lain. Terdapat banyak kepentingan dalam mempelajari bahasa isyarat iniProf Normaliza berpesan untuk merebut segala peluang yang ada di depan mata untuk kebaikan bersama. Tambah beliau lagi, minat perlu seiring bersama usaha untuk membuahkan hasil yang berpanjangan.




Fatin Nur Syazierra binti Sahril (203303)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SENARAI TAJUK TUGASAN BBM3410 2021

1. BIODATA DIRI 2. CERITA SOSIAL 1 3. PENDEKATAN ANALISIS WACANA 4. NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK 5. ASAS GRAFIK MUDAH 6. ASAS GRAFIK WARNA 7. ASA...