Rabu, 21 April 2021

BBM3410-2021-MINGGU 5-DILEMA PENGEMBARA

Rancangan Sembang Tamu: 

Dilema Pengembara oleh DR. SITI NUR ALIAA ROSLAN




Sumber: Youtube DBPMalaysia

Dr. Siti Nur Aliaa merupakan seorang pensyarah di IUKL dan merupakan seorang pengembara. Beliau sudah mengembara ke 21 buah negara tidak termasuk dalam negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Beliau mula mengembara pada umur 16 tahun ketika ibunya menyambung pelajaran di United Kingdom. Dr. Aliaa menyifatkan pengembara ialah seseorang atau individu yang keluar daripada zon selesanya untuk teroka benda baru dan menimba pengalaman hidup. Seorang pengembara juga bukan sahaja seseorang yang mengembara ke luar negara, bahkan mengembara dalam negara sendiri juga sudah dianggap sebagai seorang pengembara.

Dr. Aliaa turut berkongsi tips kepada mereka yang mempunyai minat untuk mengembara iaitu paling utamanya ialah komunikasi. Dengan komunikasi, kita dapat berinteraksi dan saling berhubung dengan sesiapa sahaja tidak kira warga tempatan mahupun warga asing. Asasnya dalam mengembara ini ialah komunikasi untuk melancarkan lagi perjalanan dan destinasi yang ingin dituju. Selain itu, menanam sikap tidak malu dalam diri. Sikap tidak malu dalam konteks ini ialah beranikan diri untuk bertanya jika mengalami sebarang kesulitan selain cuba untuk berinteraksi dengan baik. Namun, apa yang penting sekali ialah sentiasa berfikiran positif dan bersikap tenang.

Tambah Dr. Aliaa juga, perancangan yang rapi perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum memulakan pengembaraan. Dua perkara yang utama ialah menyediakan pakaian dan ubat-ubatan secukupnya. Penyediaan wang kecemasan juga disentuh oleh beliau agar boleh digunakan sekiranya perlu semasa dalam mengembara. Pengendaliaan persiapan sebelum mengembara amat dititikberatkan oleh beliau dalam memastikan pengembaraan berjalan dengan lancar tanpa sebarang permasalahan. Bukan itu sahaja, Dr. Aliaa turut akan mencari seberapa banyak informasi dan maklumat tentang negara atau tempat yang ingin dikembara. Perkara ini agar memudahkan kita untuk lebih cakna dan membuat persiapan awal dengan serapi mungkin.

Sebagai rumusannya, pengembaraan merupakan sebuah perjalanan yang sangat menarik. Bukan sahaja dapat menambah koleksi gambar, malah dapat menimba pengalaman hidup yang tiada nilainya. Dengan pengembaraan juga kita dapat mempelajari sesuatu perkara yang baharu dari segi budaya dan tradisi negara orang. Selain itu, pengembaraan turut mengajar kita bersifat terbuka untuk menjadi lebih matang dalam apa jua perkara atau membuat sesuatu keputusan dalam kehidupan. Jadi, sekiranya berkesempatan mulakan dengan mengembara dalam negara sendiri terlebih dahulu agar dapat menimba seberapa banyak pengalaman sebelum mengembara ke negara orang. Yang paling penting untuk musim Covid-19 ini, jangan lupa patuhi SOP dengan sebaiknya dan cuba untuk mengembara sekitar dalam negeri sahaja kerana masih belum dibenarkan merentas negeri. 

Stay Safe semua 😊


Fatin Nur Syazierra binti Sahril (203303)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SENARAI TAJUK TUGASAN BBM3410 2021

1. BIODATA DIRI 2. CERITA SOSIAL 1 3. PENDEKATAN ANALISIS WACANA 4. NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK 5. ASAS GRAFIK MUDAH 6. ASAS GRAFIK WARNA 7. ASA...